CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

my CORNER

siapa SAYA?

My photo
"feel the heart of everyone.. see through our differences"

Tuesday, April 28, 2009

utusan malaysia_28 april 09

Jangan panik - Muhyiddin

Oleh LUQMAN HAZIQ dan SAHBULAH DARWI
utusanjohor@utusan.com.my


JOHOR BAHRU 27 April - Malaysia masih bebas daripada wabak selesema babi yang kini mencemaskan masyarakat dunia dan rakyat diminta tidak panik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemantauan Kementerian Kesihatan setakat ini mengesahkan negara masih bebas daripada wabak itu yang bermula di Mexico.

Bagaimanapun, menurut beliau, kawalan di pintu masuk negara seperti di lapangan terbang, pelabuhan dan kawasan sempadan telah diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini adalah protokol yang biasa kita guna pakai dalam menghadapi SARS (Sindrom Akut Pernafasan Teruk) dulu.

"Kita akan memperketatkan lagi (pemantauan dan pengawalan) supaya pastikan tak ada kes seperti itu di Malaysia.

"Kementerian Kesihatan juga bekerjasama rapat dengan semua agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperketatkan kawalan di pintu masuk,'' katanya.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di Padang Plaza Angsana di sini hari ini.

Beliau sebelum itu diminta mengulas penularan wabak selesema babi yang membimbangkan masyarakat dunia selepas virus itu ditemui menyerang Mexico.

Muhyiddin berkata, rakyat juga akan diberikan kesedaran mengenai virus maut itu kerana ia merupakan penyakit yang baru ditemui.

Menurutnya, mereka yang ke luar negara perlu diberi maklumat terkini wabak itu menerusi pengedaran risalah oleh kementerian berkaitan.

"Kita baru pertama kali dengar selesema babi. Tak pernah kita dengar sebelum ini dan rakyat perlu dididik mengenainya. Bagaimana secara individu kita dapat mengawal wabak ini daripada merebak,'' katanya.

Beliau turut ditanya adakah kerajaan akan memantau wabak itu di ladang-ladang babi di negara ini.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan akan bekerjasama rapat menjalankan pemantauan di ladang babi sedia ada.

Selain itu, katanya, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengawalan penyakit di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, langkah itu bertujuan untuk membolehkan negara ini mendapatkan maklumat terkini dan langkah yang sesuai untuk mengawal penularan virus maut itu.

Setakat hari ini, Mexico mencatatkan 103 kematian akibat wabak selesema babi dan virus maut itu.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...