Setelah melahirkan 10 Imam Muda di musim pertama, Astro Oasis sebagai sebuah saluran gaya hidup famili Islam meneruskan tradisi mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintegriti dan berkredibiliti dengan mengumumkan 10 orang calon Imam Muda untuk musim yang kedua. Buat julung kalinya, pengumuman dari Dewan Muktamar, Menara Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) disiarkan secara langsung di Astro Oasis (Saluran 106).
Sepuluh orang calon Imam Muda yang terpilih itu ialah:
1. Ali Khairudin Haji Abdul Marif, 26 tahun, berasal dari Sabah
2. Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26 tahun, berasal dari Perak
3. Nazrul Izwan Zolkiflee, 26 tahun, berasal dari Johor
4. Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20 tahun, berasal dari Selangor
5. Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27 tahun, berasal dari Terengganu
6. Ammar Wan Harun, 27 tahun, berasal dari Kedah
7. Mohd Azlan Zulkarnain, 25 tahun, berasal dari Kuala Lumpur
8. Abdul Fattah Riddzwan, 21 tahun, berasal dari Negeri Sembilan
9. Mujahid Suhaimi, 20 tahun, berasal dari Singapura
10. Zulfadli Haji Awang, 24 tahun, berasal dari Brunei Darussalam.
Calon-calon Imam Muda Musim Ke-2 ini telah diumumkan dalam majlis yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Bin Hj Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis yang disiarkan secara langsung melalui Astro Oasis (106) ini juga turut disertai oleh Tuan Hj Izelan Basar, Pengurus Saluran Astro Oasis.
Rangkaian program-program Imam Muda mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Imam Muda - Ujian yang telah ditayangkan sejak 1 April lalu, setiap Jumaat jam 9.00 malam yang memaparkan senario menarik yang berlaku di sepanjang sesi temu duga yang berlangsung di enam lokasi terpilih. Seterusnya, bermula 25 April ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.55 malam, penonton berpeluang menyaksikan kesemua calon-calon Imam Muda yang terpilih ini mengikuti kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti mengikut kaedah dan metadologi yang disediakan di bawah pimpinan dan pemerhatian khusus Mudir (pengetua) dan Mursyid (mentor) melalui program Imam Muda - Kapsul.
Pertama kali diperkenalkan pada musim ini, Imam Muda - Mimbar akan bersiaran setiap hari Jumaat jam 6.30 petang bermula 29 April ini. Menerusi program ini, penonton akan disajikan dengan persediaan dua orang peserta yang terpilih untuk menyampaikan tazkirah dan khutbah setiap Jumaat di masjid terpilih sekitar ibu kota. Manakala seperti musim lalu, Imam Muda yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam akan menguji kesemua calon Imam Muda bakal diuji untuk sesi penilaian. Berdasarkan nilai jawapan yang diberikan oleh peserta, Mudir akan mengumumkan salah seorang peserta sebagai peserta terbaik yang akan menerima ganjaran mingguan.
Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara Imam Muda ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, wang tunai RM 30,000, sebuah kereta, pakej menunaikan Haji dan Umrah, beserta hadiah sampingan yang lain. Kesemua hadiah yang bakal diterima oleh Juara Imam Muda bernilai lebih RM 350,000.
Pada musim kedua ini, Imam Muda sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Bank Islam selaku penaja utama dengan kerjasama Salamfon sebagai penaja rasmi telekomunikasi serta Radio Ikim selaku radio rasmi. Informasi terkini seperti maklumat lengkap Imam Muda musim kedua, berita-berita tentang aktiviti terkini, gambar dan video eksklusif dan menarik boleh didapati melalui laman web rasmi www.imammuda.com.my.
sumber:http://www.astro.com.my/imammuda/articles/art_4629.html
0 comments:
Post a Comment