Seorang wanita menghadapi kesulitan apabila ia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya.Lumrahnya begitulah, seorang wanita akan disukai dan dicintai oleh ramai lelaki, berbanding seorang lelaki,biasanya untuk dicintai seorang wanita pun payah.
Wanita ibarat bunga. Bunga biasanya cantik dan harum.Jarang ditemui bunga yang berbau busuk walaupun ada.Begitulah wanita, biasanya dianggap cantik oleh orang yang mengaguminya. Boleh dikatakan kita tidak akan jumpa bunga yang tidak memukau perhatian kita. Kalau pun ia kurang cantik, ia tetap unik dan menyebabkan kita mahu mendekatinya, membelek, menyentuh dan mengkaji.
Apabila dia didekati oleh terlalu ramai lelaki dia akan keliru sebab rasa cintanya hanya satu. Wanita bernafsu banyak, maka dia tidak begitu sempat untuk mempelbagaikan cintanya untuk ramai lelaki. Berbeza lelaki, nafsunya satu, justeru dia tidak pandai membahagi-bahagikan keghairahannya itu kepada benda-benda lain. Dia amat terasangsang apabila melihat wanita. Soal cantik atau tidak bukanlah masalah besar baginya, yang penting pandai mengambil hati dan bermanja-manja.
Lelaki boleh mencintai sepuluh wanita dalam masa yang sama sedangkan wanita tidak akan berupaya berbuat begitu. Yang paling menjadi masalah apabila dia digilai oleh ramai lelaki. Payah sungguh dia hendak mengatakan, dia tidak mencintai kesemuanya kecuali satu. Dan tidak sukar baginya untuk mengatakan, “Abang, walaupun ramai yang mahukan saya di luar sana,abang tetap pilihan hati.”
Begitulah wanita, makhluk ciptaan ALLAH yang tugasnya bagaikan bunga – menghiasi alam. Tanpa wanita barangkali kehidupan ini tidak sebegini indah. Tanpa bunga sudah tentu alam ini suatu tempat yang tidak menarik untuk didiami.
Seorang wanita akan berasa amat susah apabila ia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya. Satu-satunya lelaki yang dicintainya itu memang tiada duanya, tiada tiganya. Dia biasanya amat setia dengan pilihan hatinya. Dan akan menjadi amat tidak tenteram apabila diintai oleh terlalu ramai lelaki lain.
Selalunya wanita lebih mudah membuat pilihan berbanding lelaki. Apabila seseorang wanita itu telah memilih seorang lelaki sebagai mahkota hatinya dia akan setia dengan pilihannya itu. Lelaki pula, selalunya lebih banyak mencuba nasib dengan cuba mencintai ramai wanita untuk mencari yang terbaik. Dia selalunya pandai bermain kata-kata. Wanita pula mudah lemas dengan lelaki yang pandai bermain kata-kata. Sebab itulah wanita akan lemas berada di tengah-tengah lelaki yang menyintainya meskipun satu-satunya lelaki yang dicintainya itu masih teguh kukuh di sanubarinya.
Kebanyakan wanita akan taat dengan pilihannya mulai di alam perkenalan, percintaan hinggalah perkahwinan. Jarang yang berlaku curang. Jika curang memang dia jenis ‘perempuan gatal’ atau tidak mampu lagi bertahan dek cabaran-cabaran pasangan.
Sebagaimana bunga, jarang yang merosakkan alam. Kalau ada pun, itu sebab dipetik orang lalu dibiarkan. Atau gugur sendiri setelah tangkainya tidak dapat bertahan. Bunga akan selamanya jadi penghias alam. Bunga akan selamanya mampu memukau perhatian orang dan ada kalanya haiwan.
Syukurilah anda bernama wanita dan bertahanlah dalam kesucian walaupun amat-amat diketahui wanita sangat berlebihan dalam mencintai dan membenci, dan tidak mengenal pertengahannya.
0 comments:
Post a Comment