CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

my CORNER

siapa SAYA?

My photo
"feel the heart of everyone.. see through our differences"

Friday, May 8, 2009

Kanser usus perlu rawatan awal

JIKA diberitahu rawatan A membolehkan anda hidup satu tahun dan dua tahun bagi rawatan B, agaknya manakah yang menjadi pilihan anda? Atau anda berasakan kedua-dua rawatan sama saja kerana perbezaan masa yang tidak begitu ketara?

Bagi orang sihat, perbezaan masa ini mungkin dianggap kecil dan tidak penting, tetapi besar maknanya dan sangat berharga kepada pesakit kronik seperti kanser, apatah lagi jika penyakit itu mencapai tahap kritikal.

Namun, bak kata orang Iban Sarawak, ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ yang bermakna selagi hidup, selagi itu perlu berjuang dan berkorban, terutama untuk melawan penyakit. Kita juga dilarang berputus asa berusaha mencari rawatan, walaupun ada sesetengah penyakit masih tidak ditemui penawarnya.

Menghidap penyakit kronik seperti kanser bukan bermakna hidup kita akan berakhir. Harapan sentiasa ada selagi kita berusaha. Pesakit kanser usus kronik kini ada harapan lebih baik dengan kemunculan ubat baru, bevacizumab.

Menurut Perunding Onkologi dan Radioterapi merangkap Presiden Persatuan Onkologi Malaysia (MOS), Dr Gucharan Singh, kanser usus kini pada tangga ketiga menyebabkan kematian di kalangan rakyat negara ini selepas kanser payu dara dan paru-paru.

Pada 2001 saja, hampir sejuta rakyat negara kita menghidap kanser kolorektal (usus kecil dan besar). Di seluruh dunia, kanser usus menjadi kanser kedua terpenting menyebabkan kematian, terutama di kalangan orang dewasa — dan tabiat makan dikenal pasti menjadi penyumbang kepada peningkatan kes kanser usus.

Katanya, antara faktor risiko kanser usus ialah peningkatan usia, pemakanan yang kaya lemak, sejarah keluarga, kencing manis, merokok, alkohol, obesiti, kehadiran penyakit keradangan dalam usus serta kesan sampingan ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs).

Walaupun risiko bertambah dengan peningkatan usia, kanser usus boleh berlaku kepada orang muda. Malangnya, ramai menganggap simptom seperti berak berdarah, perubahan waktu buang air besar, rasa tidak puas setiap kali selepas buang air besar dan sakit perut, sebagai masalah buasir. Dianggarkan 30 hingga 40 peratus atau lebih 200,000 pesakit lewat menjalani pemeriksaan.

Justeru, tanda ini dibiarkan saja tanpa mendapatkan rawatan hinggalah penyakit menjadi kronik dan ada sesetengah kes, sel kanser dari usus merebak dan menjangkiti bahagian badan lain (dipanggil metastasis).

“Kanser bermula dari satu sel yang tidak normal. Untuk membentuk satu ketulan, ia memerlukan kira-kira 1,000 juta sel tidak normal. Biasanya pada diagnosis awal, bilangan sel kanser mencecah satu bilion.

“Walaupun jumlah ini banyak, tetapi jika dikesan awal, peratusan sembuh sangat tinggi iaitu hampir 100 peratus, tetapi jumlah ini kecil. Hanya 20 peratus pesakit didiagnos awal, sedangkan 80 peratus lagi hanya datang apabila kanser mencapai tahap ketiga (serius),” katanya pada pelancaran ubat kanser usus Avastin anjuran Roche (M) Sdn Bhd.

Ketumbuhan pada usus memerlukan oksigen dan nutrien untuk hidup dan membesar. Ia akan membentuk salur darah sendiri (menjadikan salur darah sedia ada bercabang untuk sampai ke ketumbuhan berkenaan) bagi mendapatkan oksigen dan nutrien. Proses ini dipanggil angiogenesis.

Salur darah

Dari sini sel kanser boleh merebak ke anggota badan lain dengan memasuki salur darah. Bevacizumab yang mempunyai sifat anti-angiogenesis menyekat proses pembentukan salur darah ke ketumbuhan dan menghalang salur darah daripada terus membekalkan oksigen serta nutrien. Sel kanser yang tidak mendapat ‘makanan’ lama kelamaan akan mati.

Menurut Perunding Onkologi Klinikal dan Radioterapi, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid, rawatan bevacizumab bersama kemoterapi dapat memberi kesan positif dan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.

Katanya, rawatan ini juga sesuai digunakan bagi pesakit yang sel kansernya merebak ke anggota badan lain. Ini kerana bevacizumab bertindak khusus pada protein yang dipanggil VEGF iaitu bahan utama proses angiogenesis dan menyekat bekalan darah ke sel kanser.

“Setiap hari sangat berharga bagi pesakit kronik. Ini harapan baru kepada pesakit. Dapat meneruskan hidup dua atau tiga tahun bermakna mereka boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan orang tersayang,” katanya.

Rawatan kemoterapi digabungkan bersama bevacizumab untuk pesakit kanser usus adalah prosedur biasa di Amerika Syarikat sejak ia digunakan setahun lalu, kata Pensyarah Jabatan Hematologi dan Onkologi, Fakulti Perubatan UCLA, California, Dr Fairooz Kabbinavar.

Seperti ubat lain, bevacizumab ada kesan sampingan seperti hidung berdarah, tekanan darah meningkat sedikit dan kehadiran protein dalam air kencing, tetapi menurut Dr Fairooz, kesan itu bersifat sementara. Setiap pesakit menunjukkan reaksi berbeza terhadap ubat, malah ada yang tidak mengalami kesan sampingan.

“Biasanya doktor akan membuat imbangan antara faedah dan kesan sampingan. Dalam hal ini, pesakit mendapat lebih banyak faedah berbanding kesan sampingan. Pertambahan lima atau enam bulan kepada jangka hayat pesakit adalah penting bukan kepada pakar perubatan saja tetapi pesakit sendiri.

“Malah rata-rata pesakit dapat menikmati kehidupan lebih bermakna dengan pertambahan masa berkenaan,” katanya.

Jadi, jika anda mengalami simptom seperti di bawah, segera jalani pemeriksaan supaya penyakit dapat dirawat pada peringkat awal.

*Ada masalah usus seperti kerap cirit-birit dan sembelit yang bersilih ganti

*Ada pendarahan ketika buang air

*Najis berdarah (najis berwarna kemerahan atau kehitaman)

*Sering rasa tidak puas, walaupun berkali-kali buang air

*Sakit perut

*Muka jadi pucat

*Lemah seluruh badan









Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web MOS di alamat www.malaysiaoncology.org

©The New Straits Times Press (M) Berhad


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...