Apakah yang perlu anda tahu tentang migrain dan tanda-tanda amarannya?
Migrain ialah sakit pada sebahagian kepala yang mungkin boleh pulih selepas beberapa jam atau berlarutan selama beberapa hari. Sesetengah pesakit mungkin mengalaminya setiap minggu dan mungkin beberapa kali sahaja dalam setahun. Migrain selalunya dihidapi pada peringkat umur empat puluhan dan boleh diklasifikasikan migrain jenis klasik atau migrain jenis biasa.
Anda dapat mengetahui yang anda akan diserang migrain sebelum sakit kepala itu bermula. Tanda-tanda amaran serangan migrain ialah rasa mual, muntah dan kepekaan terhadap cahaya, bunyi bising atau bau-bauan. Migrain jenis klasik bermula dengan tanda amaran seperti kilauan cahaya atau warna. Anda mungkin terasa yang anda seperti sedang melihat ke dalam terowong. Sebahagian kepala anda mungkin akan terasa seperti dicucuk, panas atau lemah. Tanda-tanda amaran ini akan berlarutan selama 15 hingga 30 minit dan diikuti oleh sakit pada bahagian kepala.
Migrain jenis biasa tidak mempunyai sebarang tanda-tanda amaran. Bagaimanapun, anda mungkin akan berasa letih, murung, tidak selesa atau akan menjadi lebih banyak bercakap 2 hingga 3 hari sebelum sakit kepala itu bermula.
Apakah yang menyebabkan migrain?
Migrain bermula apabila salur darah di dalam otak mengecil (mengecut) untuk seketika. Apabila ini berlaku, jumlah darah dan oksigen yang mengalir ke dalam otak akan berkurangan.
Seterusnya, ini akan menyebabkan salur darah yang lain membesar (mengembang) dan apabila salur darah mengembang, ia akan mengalami radang, denyutan dan kesakitan amat nyata. Migrain ialah sejenis sakit kepala vascular kerana ia melibatkan perubahahan atas salur darah.
Para ahli sains percaya bahawa mereka yang mengalami migrain mewarisi kecenderungan sistem saraf untuk bertindak balas dengan cara yang berbeza terhadap perubahan dalam tubuh dan persekitaran mereka. Beberapa perkara lain juga mungkin akan mencetuskan kesan tindak balas pada sistem saraf seseorang dan seterusnya mengakibatkan serangan migrain.
Antara penyebab migrain adalah:-
- Tekanan dan gangguan emosi
- Kedatangan haid (mengalami PMS)
- Pemakanan yang tidak teratur
- Pengambilan minuman yang mengandungi tahap kafeina yang tinggi (seperti minuman kola)
- Makanan (seperti keju, coklat, ais krim, makanan bergoreng, daging dalam tin, hot dog, yogurt, pemanis tiruan, kacang, jeruk dan kismis)
- Kurang tidur
- Perubahan cuaca
Bagaimanakah cara untuk menghalang migrain?
(i) Patuhi arahan doktor anda dan makan ubat mengikut arahan
(ii) Mengamalkan pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat
(iii)Cuba mengambil makanan kesihatan tambahan
(vi) Bebaskan diri daripada tekanan dan belajar menenangkan diri
(vi) Sentiasa bersenam
Lebih banyak yang anda ketahui mengenai migrain, lebih mampu anda mengatasi dari serangannya.
Sumber: DXN Life , Vol. 12
0 comments:
Post a Comment