Kisah bermula apabila Panglima Julian dan rombongannya dari Andalusia datang menghadap Musa bin Nusair yang pada waktu itu menjadi pemerintah Islam di Afrika. Tujuan kedatangan Panglima Julian adalah untuk mengharapkan pertolongan dari Musa bin Nusair dalam menentang Raja Rodriega iaitu pemimpin di Andalusia yang terkenal dengan kekejamannya terhadap rakyat. Panglima Julian berharap dengan kedatangan Musa bin Nusair dan tentera Islam dapat menegakkan keadilan dan menghapuskan penindasan terhadap rakyat.
Panglima Julian yang merupakan Gabenor Ceuta rasa sangat kecewa dan dendam terhadap Raja Rodreiga dan askar-askar Gotiknya kerana telah memperkosa Florinda (anaknya) sanggup memberikan kerjasama dan menyediakan 12 buah kapal perang kepada Musa bin Nusair dan tenteranya untuk datang ke Andalusia demi menegakkan keadilan dan menghapuskan kekejaman. Musa bin Nusair melantik Tariq bin Ziyad sebagai pemimpin angkatan tentera walaupun ditentang oleh beberapa panglima kerana Tariq pernah menjadi budak suruhan kepada Musa bin Nusair. Tetapi, Musa bin Nusair tetap dengan keputusannya kerana beliau tahu Tariq bin Ziyad mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani.
Tariq bin Ziyad kemudian berangkat ke Andalusia bersama 12 ribu orang tentera yang sanggup berjihad dan mereka akhirnya selamat mendarat di Andalusia. Setibanya di sana, Tariq bin Ziyad mengumpulkan tenteranya di Gibraltar (jabal Tariq) dan berteriak dengan penuh semangat, "di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!".
Dengan kata-kata itu, Tariq bin Ziyad berjaya meniupkan semangat tenteranya untuk menentang 100 ribu tentera Gotik . Tambahan lagi, Tariq bin Ziyad telah membakar kesemua kapal yang mereka gunakan supaya askar-askarnya dapat berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Tujuan kedatangan Tariq bin Ziyad yang pada mulanya merupakan pasukan peninjau terus berjihad untuk menang dalam sesuatu peperangan ataupun syahid di medan perang.
Pertempuran sengit terus berlaku antara tentera Gotik yang diketuai oleh Raja Rodreiga dengan pasukan yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad. Akhirnya tentera Islam berjaya dalam peperangan sengit pada 19 Julai 711 Masihi dan Raja Rodreiga turut terkorban dalam pertempuran tersebut.Tariq bin Ziyad terus mengukir kejayaan dengan menakluk beberapa kawasan di Andalusia, antaranya Kordoba, Malaga, Granada, Toledo dan sebagainya. Setelah berjaya menakluk beberapa kawasan, Musa bin Nusair bersama askar di bawah pimpinannya tiba dari Afrika. Mereka bergabung untuk menakluk seluruh Andalusia. Dengan semangat jihad yang tinggi, mereka akhirnya berjaya membina empayar Islam di bumi Andalusia sehingga lebih dari 500 tahun.
Nama Tariq bin Ziyad terus harum di bumi Andalusia kerana beliau yang hanya merupakan seorang budak suruhan dan bukan pula dari keturunan Arab telah berjaya mencipta sejarah dengan penaklukan wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam. Revolusi sosial timbul dari penaklukan Andalusia iaitu kebebasan agama benar-benar diakui di bawah pemerintahan Islam.
-------------
"... seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian. "
Tariq bin Ziyad.
Sejarah adalah bayang-bayang untuk langkahan seterusnya
Jika kemas langkahan anda
selamat perjalanan yang dituju
0 comments:
Post a Comment